Monday 3 October 2016

Konsert ‘Kemilau Anak Seni Sekolah Seni’ Malaysia Sabah 2016






Konsert Kemilau Anak Seni merupakan anjuran Sekolah Seni Malaysia Sabah dan dijayakan dengan kerjasama dari Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan serta Pelatih-pelatih Industri dari Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, UMS. Konsert ini telah berlangsung dengan jayanya pada 24 September 2016 (Sabtu) yang lalu bertempat di Auditorium Institut Latihan Perindustrian (ILP). Konsert ini telah dirasmikan oleh Ir Datu Jamigul Bin Datu Salin, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Sabah dan dihadiri oleh En Mahamad Ambran, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Tn Sharif Mahada Sharif Attar, PPD Sandakan, warga pendidik, wakil dari Jabatan dan Agensi luar serta dan PIBG SMK Elopura Sandakan.
Objektif Konsert ini adalah:
1. Memberi peluang kepada pelajar Tingkatan 1 SSeM Sabah untuk terlibat secara langsung dalam produksi yang sebenar.
2. Melatih, mendidik dan mengasah bakat serta kreativiti para pelajar agar lebih berkeyakinan dalam bidang kesenian.
3. Mewujudkan satu platform untuk masyarakat umum membuat penilaian ke atas produksi pelajar-pelajar seni.
4. Menjalinkan kerjasama antara pelajar, jurulatih, ibu bapa serta komuniti setempat.
5. Sebagai satu promosi kewujudan Sekolah Seni Malaysia Sabah.
Konsert ini telah menonjolkan persembahan yang terdiri dari keempat-empat bidang kesenian antaranya ialah OST Layar Perak (Film Scoring), Persembahan Lagu Koir, Persembahan Orkestra, Pameran Seni Visual dan Persembahan Integrasi Masyarakat (Ibu bapa, Pegawai Pendidikan Daerah dan Guru-guru Seni). Konsert ini telah berlangsung dengan jayanya atas kerjasama dan sokongan berterusan dari masyarakat kepada Sekolah Seni Malaysia Sabah. SSeM Sabah berharap agar bakat-bakat anak-anak seni Sabah ini akan dapat melahirkan insan budayawan bertaraf dunia.




























Monday 19 September 2016

Pelancaran Program Pendidikan Seni Zon Sabah


Majlis Perasmian Pelancaran Program Pendidikan Seni Zon Sabah di SMK Elopura Sandakan bagi Penubuhan Sekolah Seni Malaysia Sabah telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, Ketua Menteri Sabah dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat ADUN dan Ahli Parlimen, Datuk Jame Alip, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Pn Hjh Rozainum Bt Ahmad, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, warga KPM, JPN dan PPD Sandakan.

Pelancaran gimik iaitu Logo SSeM Sabah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah dan diikuti dengan persembahan lagu SSeM Sabah oleh murid-murid seni. SSeM Sabah telah mula beroperasi pada 2016 di SMK Elopura Sandakan yang menjadi premis sementara sebelum berpindah ke Hub Pendidikan Sandakan di Batu 10. Dengan penubuhan SSeM Sabah ini diharapkan dapat menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kesenian dan menjadi platform untuk mengembangkan lagi bakat-bakat di kalangan murid seni dalam melahirkan insan budayawan bertaraf dunia.




Sekolah Seni Malaysia Zon Sabah

Penubuhan SSeM Sabah telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2014 pada 26 November 2013 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan. Pada 25 Mac 2014, permohonan pembinaan SSeM Sabah telah dimasukkan dalam RMKe-11. Pada 10 Jun 2014 cadangan YAB Ketua Menteri Sabah untuk membina SSeM Sabah di Sandakan telah dipersetujui. Kerajaan Negeri telah melulus dan menyediakan tanah seluas 40 ekar di Hub Pendidikan Sandakan sebagai tapak pembinaan SSeM Sabah. SMK Elopura Sandakan akan dijadikan tapak sementara Program Pendidikan Seni bagi Penubuhan Sekolah Seni Malaysia Sabah sementara menunggu pembinaan bangunan SSeM Sabah di Hub Pendidikan Sandakan. Lanjutan dari itu, beberapa mesyuarat yang melibatkan BKK, JPN Sabah, PPD Sandakan dan SMK Elopura telah berlangsung untuk memastikan SSeM Sabah mula beroperasi pada tahun 2016. Sehubungan dengan itu, pendaftaran ambilan pertama sesi 2016 telah berlangsung pada 13 Februari 2016 dan murid perintis bagi SSeM Sabah adalah seramai 50 orang terdiri daripada anak-anak dari seluruh negeri Sabah.